Monday 27 January 2014

TAK SAMPAI 24JAM BANNER MEMPERSENDA ISLAM DIGANTUNG,GEREJA DI BALING BOM DI PENANG @dzainalabidin @drnovandri

Gereja Assumption di Lebuh Farquhar

BALIK PULAU: Polis sedang giat memburu suspek yang melontar 'molotov cocktail' atau bom botol di pekarangan sebuah gereja di Lebuh Farquhar dekat sini awal pagi Isnin.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, suspek yang menunggang sebuah motosikal melempar botol berisi bahan letupan itu dari luar pagar gereja berkenaan sebelum melarikan diri.

"Kita telah menghantar pasukan forensik untuk menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya siasatan mendapati hanya satu daripada bahan letupan yang diisi dalam dua botol minuman keras itu meletup sehingga menyebabkan kebakaran bagaimanapun tiada kerosakan serius dilaporkan.

Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada penjaga gereja yang menyaksikan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Abdul Rahim berkata tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan tertentu yang cuba menggugat ketenteraman awam dengan menimbulkan kekacauan sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menerima sembilan laporan berhubung isu kain rentang berbaur provokasi berkaitan kalimah Allah yang digantung di beberapa lokasi di negeri ini semalam.

Susulan insiden itu, polis menjalankan rondaan termasuk di 48 gereja di sekitar Daerah Timur Laut bagi memantau perkembangan keadaan, katanya.

Semalam kain rentang bertulis 'Allah is Great (Allah Maha Besar), Jesus is the son of Allah' (Jesus adalah anak lelaki Allah) dilihat digantung di pekarangan beberapa buah gereja dan sebuah perhentian bas di negeri ini.

Sementara itu,Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang turut mengecam tindakan membaling bom buatan sendiri 'molotov cocktail' itu.Dibawah adalah kenyataan media dari BPUNPP:




Kenyataan Media
YBhg Dato Zainal Abidin Osman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Negeri Pulau Pinang
27 Januari 2014


Insiden Membaling 'Molotov Coktail' ke Gereja Assumption Pulau Pinang
1. UMNO Pulau Pinang mengecam dan mengutuk keras perbuatan ganas dan tidak bertanggung jawab oleh pihak yang belum dikenalpasti membaling Molotov Cocktail ke Gereja Assumption, Lebuh Farquhar di Pulau Pinang.
2. UMNO Pulau Pinang amat berharap pihak polis akan segera menyiasat insiden berkenaan dan membawa mereka yang melakukan perbuatan tersebut ke muka pengadilan. 
3. UMNO Pulau Pinang juga yakin pihak polis akan mengambil tindakan-tindakan segera membendung agar perbuatan terkutuk seumpama ini tidak akan berlaku lagi.
4. UMNO Pulau Pinang berpandangan isu kalimah Allah dapat diselesaikan segera melalui perundingan dengan semua pihak yang terlibat.
5. UMNO Pulau Pinang sekali lagi ingin menyeru semua pihak supaya bertenang dan tidak bertindak melulu dalam menghadapi episod ini serta tidak terperangkap dengan agenda mana-mana pihak yang inginkan pertelingkahan kaum dan agama berlaku di negara ini. Keharmonian dan toleransi antara kaum dan agama di Malaysia perlu diperlihara dan dipertahan demi masa depan rakyat Malaysia keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment