Thursday 9 January 2014

CINTA ALAM MAYA - GURU DIPERDAYA LELAKI SINGAPURA

Kuantan: Terpedaya dengan janji seorang lelaki kasanova yang kononnya mahu mengahwininya, seorang guru kerugian kira-kira RM1,500 selepas ditipu lelaki terbabit.



Difahamkan, lelaki itu menggunakan taktik kononnya jatuh cinta pandang pertama dan berjanji mahu berkahwin sebelum menghilangkan diri selepas memperoleh sejumlah wang daripada mangsa.

Guru itu yang mahu dikenali sebagai Rina, 31, mengakui mengenali lelaki berusia 39 tahun terbabit pada 18 November tahun lalu melalui sebuah laman sosial.

Dia yang berasal dari Kampung Peramu, Tanjung Lumpur, di sini, berkata, pada mulanya dia hanya mengenali lelaki terbabit yang mendakwa bekerja sebagai koordinator projek sebuah syarikat pembekal barangan komputer terkemuka di Singapura itu sebagai kenalan biasa, sebelum lama-kelamaan lelaki terbabit dikenali sebagai Syah meluahkan perasaan selain menyatakan memperisterikannya.

“Saya terkejut mendengar luahan lelaki itu kerana kami baru saja berkenalan dan pada masa sama, saya juga jatuh cinta walaupun kami tidak pernah bertemu,” katanya yang mengajar di sebuah sekolah menengah di bandar ini.

Wanita itu berkata, pada 25 November tahun lalu, dia bertemu dengan Syah di Terminal Sentral Kuantan, di sini.

“Lelaki itu mendakwa sanggup datang dari Singapura semata-mata untuk bertemu saya,” katanya.

Rina berkata, sebelum kedatangan Syah ke bandar ini, dia ada memesan beberapa barangan daripada lelaki terbabit seperti beg tangan, minyak wangi, dan telefon bimbit dari Singapura.

Katanya, sebelum lelaki terbabit pulang ke Singapura, dia ada menyerahkan RM500 kepada lelaki itu sebagai wang pendahuluan membeli barang dipesan itu.

“Selepas lelaki itu pulang ke Singapura pada 29 November lalu saya ada memasukkan RM950 lagi kepadanya untuk membeli barang yang saya pesan.

“Dia berjanji akan datang semula ke Kuantan untuk memberikan barangan berkenaan dan meminang saya pada 7 Disember lalu,” katanya di sini, semalam.

Rina berkata, bagaimanapun apabila hampir tiba tarikh berkenaan, lelaki terbabit menghubunginya memaklumkan dia memerlukan RM3,000 untuk menyelesaikan masalah di tempat kerja sebelum dapat datang ke bandar ini.

“Saya tidak dapat memberikan wang seperti diminta kerana tidak mempunyai simpanan sebanyak itu menyebabkan lelaki itu marah berbeza dengan sikap lembutnya selama ini,” katanya.

Dia berkata, selepas insiden itu, dia tidak lagi dapat menghubungi terbabit termasuk melalui laman sosial

“Saya kemudian laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, semalam,” katanya.- Harianmetro

No comments:

Post a Comment