Header Ads

Breaking News

PADERI MENDERHAKA TITAH SULTAN SELANGOR - CADANGAN ADUN DAP MENCABAR ISLAM (MUFTI KELANTAN)

- Cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam ) Enakmen 1988 disifatkan sebagai melampau dan tidak menghormati serta mencabar Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, enakmen tersebut telah diluluskan khusus untuk umat Islam dan tidak mengganggu-gugat agama-agama lain.

Beliau berkata, undang-undang itu juga amat penting bagi memastikan tidak ada pihak daripada agama lain memujuk dan menghasut umat Islam meninggalkan agama suci itu.

"Pada dasarnya enakmen itu ditubuhkan bagi mengawal, menyekat pengembangan dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam serta mampu mengekang gejala murtad di negara ini.

"Selain itu, enakmen berkenaan dilaksana supaya rakyat menghormati Perlembagaan Negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama Persekutuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan tiga wakil rakyat DAP Selangor yang mahu enakmen tersebut dipinda susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah.

Bible tersebut dirampas dalam serbuan di sebuah premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamad Shukri memuji tindakan tegas JAIS yang disifatkan sebagai tepat demi menjaga kesucian agama Islam.

"JAIS hanya menjalankan tugas melaksanakan enakmen sedia ada yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tidak sepatutnya ada pihak yang mempersoalkan tindakan itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri turut menyelar tindakan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung kenyataannya supaya semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan berbahasa Melayu.

Katanya, tindakan itu telah melanggar perintah mahkamah sebelum ini yang membuat keputusan tidak membenarkan majalah mingguan, The Herald, menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan majalah berkenaan.

"Paderi ini juga telah menderhaka terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini menitahkan semua rakyat khasnya di negeri itu tanpa mengira kaum serta latar belakang agama akur dan patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah bagi mereka yang bukan beragama Islam.
"Tindakan seperti ini tidak lebih daripada mengapi-apikan rakyat untuk mencetuskan ketegangan," katanya

1 comment: