Monday 1 September 2014

SIRI HAJI 1435: (FOTO) SAMBUTAN KEMERDEKAAN LUAR BIASA PETUGAS TABUNG HAJI @azeezputera @tabung_haji #haji #haji1435 #disinilahirnyasebuahcinta #salutemalaysia




Hari Kemerdekaan Malaysia ke 57 di tanah air disambut meriah.Orang ramai tidak melepaskan peluang meraikan bersama.

Bagi petugas Tabung Haji dan jemaah haji Malaysia di Madinah,walaupun berada jauh di perantauan erti kemerdekaan tidak pernah hilang dari dalam diri dan ia diterjemahkan dengan sambutan dimulakan bacaan doa, yassin dan tahlil.



Majlis yang diadakan di Maktab Zon Satu di Hotel Al-Haram selepas solat Isyak dipimpin Mohd Hishammuddin Mansor dan turut dihadiri Pengarah Operasi Madinah yang juga Naib Konsul Jeneral Tabung Haji di Jeddah, Zawawi Bostam.

Turut menyertai majlis itu ialah Anggota Jawatankuasa Penasihat Syariah Tabung Haji Datuk Che Mat Che Ali, yang merupakan bekas pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pengurus Operasi Perubatan di Madinah Dr Amin Sah Ahmad.



Lebih 50 petugas dan jemaah haji menghadiri majlis itu yang dimulakan dengan bacaan Yasin, diikuti bacaan doa agar Malaysia memperoleh kesejahteraan dan keselamatan, dan rakyat berbilang kaum hidup dalam harmoni serta dijauhi daripada bencana serta musibah.

Sementara itu, Che Mat berkata rakyat Malaysia tetap setia dan cintakan negara walaupun berada di luar negara.
"Kasih dan sayang terhadap negara adalah sebahagian daripada iman," katanya kepada media Malaysia di sini.

Beliau berkata rakyat Malaysia walaupun di mana berada perlu bersama-sama mendoakan kesejahteraan negara daripada dilanda bencana dan musibah.

"Apatah lagi akhir-akhir ini diuji ALLAH SWT dengan pelbagai ujian. Semoga barakah musim haji tahun ini, dan moga semua jemaah haji sama-sama mendoakan kebaikan, kesejahteraan dan keselamatan negara," katanya.




No comments:

Post a Comment