Friday 19 September 2014

PPENGHARGAAN KEPADA TABUNG HAJI - SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN @azeezputera @tabung_haji #haji #haji1435



KUALA TERENGGANU 18 Sept. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Tabung Haji dan kakitangannya yang terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan kepada jemaah haji.

Titah baginda, para jemaah seharusnya bersyukur dan berdoa agar institusi yang menjadi contoh kepada banyak negara itu terus maju dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik pada masa depan demi keselesaan para jemaah.

"Beta dan seluruh rakyat juga mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji kerana terus membantu dengan memberi tanggungan kos haji kepada bakal jemaah yang membolehkan bayaran kekal RM9,980 walaupun kos sebenar RM16,155,'' ujar baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat menghadiri majlis Mengucapkan Selamat Jalan Jemaah Haji di sini sini hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Halina Zakaria; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Ahli-ahli Dewan Pangkuan Diraja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji, Adi Azuan Abdul Ghani.

Seramai 279 jemaah haji yang merupakan kumpulan terakhir berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) hari ini.

Empat penerbangan sebelum ini berlepas pada 8, 15, 16 dan 17 September yang melibatkan keseluruhan 1,674 jemaah dari pantai timur.

Dalam perkembangan sama, baginda turut menyeru jemaah haji terus mengekalkan disiplin diri dan menjaga nama baik Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang disegani.

"Ikutilah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudahkan dan berjalan lancar," titah baginda.

Baginda bertitah, ibadah haji mengajar umatnya untuk bertoleransi dan saling bantu-membantu bagi mewujudkan kesatuan yang kukuh dalam kalangan umat Islam yang berdepan kesulitan menegakkan agama suci Allah.

"Di kesempatan ini, beta menyeru jemaah haji supaya sentiasa mengingati Allah dan banyak bersabar terhadap apa jua dugaan yang bakal dihadapi.

"Para jemaah dinasihatkan sentiasa mengutamakan amalan kesihatan seperti menjaga kebersihan diri dan sekeliling, memakai penutup hidung agar tidak menjejaskan kesihatan semasa mengerjakan ibadat haji," titah baginda

No comments:

Post a Comment