Friday 12 September 2014

HANYA KERANA TALI, HAMPIR 20 NEGARA TURUT TERLIBAT @azeezputera @tabung_haji #haji #haji1435



Idea yang kecil tak semestinya tidak bermakna dan disebabkan idea kecil inilah negara Malaysia menjadi contoh sebagai negara yang mempunyai sistem pengurusan haji antara yang terbaik dunia.

Penggunaan tali oren sebagai penanda jemaah untuk tujuan pemantauan ini digunapakai dan dipraktiskan bermula tahun lalu dan digunakan secara meluas untuk musim haji tahun ini, ia semakin mendapat perhatian ramai.

Ini sehinggakan pihak Muassasah Asia Tenggara yang diketuai warga Arab Saudi, Tan Sri Sheikh Zuhair Abdul Hamed Sedayu yang menjadi perantara pengurusan jemaah haji daripada 17 negara - sebahagian besarnya dari Asia Tenggara, Jepun dan China, mahu mempraktikkan penggunaannya dalam kalangan lebih 300,000 jemaah negara-negara terbabit.

Bukan itu sahaja. Dari idea sekecil tali lencana oren sehinggalah ke Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Tabung Haji untuk mencapai indeks kepuasan pelanggan menerusi pensijilan ISO 9001:2008 yang digunapakai sejak 2008 telah turut menarik minat pihak muassasah berkenaan untuk dilaksanakan.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, tali lencana oren bersaiz besar yang disarung ke leher jemaah Malaysia bertujuan membantu mengesan mereka yang baru pertama kali tiba di kota Madinah dan Mekah daripada hilang punca untuk kembali ke maktab penginapan.

"Ini juga untuk membezakan mereka dengan pengunjung Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Jika ada jemaah yang tersasar dari laluan, mereka akan dibawa kembali oleh pasukan peronda kami (Tabung Haji) ke laluan asal atau untuk kembali ke maktab penginapan di hotel masing-masing.

"Penggunaan lanyard (tali lencana) ini telah menarik perhatian pihak Muassasah Asia Tenggara yang menyifatkan ia cukup efektif untuk mengawal secara terancang para jemaah yang tersasar sebelum dihantar ke pulang ke hotel.

"Ini sumbangan kecil kita (Malaysia) kepada para jemaah haji negara-negara lain," katanya.

No comments:

Post a Comment