Header Ads

Breaking News

ANAK BEKAS KETUA PENERANGAN PEMUDA PAS TENANG BAPA MENINGGAL






Ahli keluarga Mohd Lotfi Ariffin yang menetap di Kampung Tembak, Kuala Ketil, Baling menerima berita kematiannya di Syria dengan tenang dan reda.

Abang sulungnya, Mohd Zainon Ariffin, 53, berkata, mereka sekeluarga dimaklumkan oleh seorang rakan Mohd Lotfi yang turut berada di Syria, tentang kematian Mohd Lotfi.

“Selepas solat Subuh, saya ke Madrasah Nurul Hidayah, Pondok Pengajian Islam yang diasaskan keluarga untuk mengajar kelas tambahan. Isteri menerima panggilan telefon berhubung perkara itu dan segera menyuruh anak, maklumkan pada saya,” katanya.

Menurutnya, sebaik mendengar berita itu, dia berasa sedih namun pada masa sama gembira kerana adiknya, pergi menemui Ilahi dengan cara yang diberkati.

“Sedih kehilangan anggota keluarga, terasa bagaikan suatu kekosongan dalam diri ini. Gembira kerana dia dapat capai apa yang dihajati sebaik menjejakkan kaki ke bumi Syria, berjuang ke jalan ALLAH memburu syahid. Saya bangga dengan pengorbanannya,” katanya.

Mohd Zainon mendoakan agar adiknya itu diterima sebagai gugur syahid di sisi ALLAH SWT.

“Kami sekeluarga reda dengan berita itu kerana itulah yang dia mahu dalam hidupnya selepas berhijrah ke Syria pada 31 Januari lalu,” katanya.

Anak sulung Mohd Lotfi, Salahuddin, 17, kelihatan tenang sebaik menerima berita kematian itu malah mengukir senyuman apabila Mohd Zainon menepuk bahunya ketika menyampaikan berita sedih itu.

“Salahuddin berada dalam kelas saya ketika itu. Saya lihat dia tenang sahaja terima berita itu, dia langsung tidak tunjukkan kekesalan, malah tersenyum. Selepas itu, dia meneruskan pengajian seperti biasa, seperti tiada apa yang berlaku. Saya kagum dengan ketabahan dirinya,” katanya.

Mohd Zainon berkata, isteri Allahyarham juga tenang dan tabah menerima kematian suaminya, malah sejak zaman remajanya, dia berhasrat bersuamikan seorang pejuang.
“ALLAH SWT makbulkan permintaan isteri Allahyarham, malah hasrat Allahyarham juga dimakbulkan. Kami bersyukur,” katanya.

Mohd Zainon turut memaklumkan, pihaknya tidak berhasrat mengadakan solat ghaib untuk Allahyarham di kampung halamannya, kerana Allahyarham mati syahid di medan perang, dan ia bukan suatu keperluan.

Mohd Zainon juga akan memastikan amanat Mohd Lotfi, sebelum ini, agar dia dan keluarga menjaga dan membangunkan Madrasah Nurul Hidayah, yang diasaskan keluarga itu agar terus berkembang dan muncul sebagai pusat pengajian terkemuka.

“Dia pesan jangan fikirkan perkara lain, tumpu pada madrasah. Mohd Lotfi antara yang terawal membangunkan madrasah itu dan juga bekas tenaga pengajar,” katanya.

Kali terakhir mereka berhubungan adalah pada 28 Ogos lalu melalui aplikasi WhatsApp dan lebih banyak berbincang mengenai isu semasa terutama yang melibatkan agama Islam.

No comments