Sunday, 13 October 2013

Rosyam Nor tak kisah dipanggil sayang


KUALA LUMPUR: Penerbit filem dan pelakon Rosyam Nor menyifatkan gelaran Datuk yang diterimanya sempena ulang tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob sebagai satu penghormatan kepada anak seni terutamanya dalam bidang perfileman.
Rosyam, 46, berkata, penganugerahan itu adalah bukti bahawa kerajaan mula memandang serius terhadap usaha yang dilakukan oleh anak seni sepertinya dalam membangunkan industri seni tanah air.
“Saya sangat merendah diri dan bersyukur apabila diberitahu saya antara penerima pingat berkenaan dan ia satu penghormatan buat saya sebagai pelakon dan penerbit.
“Ia bukti semua usaha membangunkan industri hiburan negara selama ini mula dipandang serius oleh pihak kerajaan dan penganugerahan ini akan memangkinkan lagi semangat saya selepas ini,” katanya kepada mStar Online.
Rosyam ditemui ketika menghadiri majlis perasmian bengkel dan butik menjual alat ganti iaitu S4M Motorsports ‘Big Bike Garage’ yang dimiliki oleh pelakon Didie Alias di Setapak pada Sabtu.
Pelakon berkenaan antara 79 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk termasuk penyanyi Ramli Sarip yang menerima DPSM Kehormat membawa gelaran yang sama.
Istiadat pengurniaan pingat dan darjah kebesaran berlangsung di Dewan Seri Negeri Melaka pada Ahad (hari ini).
Tambahnya, anugerah itu diharap dapat dijadikan inspirasi kepada individu lain untuk terus memperjuangkan industri dengan lebih bersungguh-sungguh.
Sementara itu, Rosyam berkata, tidak menjadi masalah baginya jika peminat ataupun kenalan mahu memanggilnya Datuk ataupun namanya sahaja seperti sebelum ini.
Jelas Rosyam, dia tidak mahu gelaran tersebut akan meletakkan jurang sedangkan prinsip hidupnya tetap sama.
“Hendak panggil ‘Datuk’, ‘abang’, ‘Rosyam’ atau pun ‘sayang’ saya tetap akan sahut panggilan daripada mereka kerana gelaran tersebut bukan untuk saya bermegah-megah,” ujarnya.
-mStar

Tahniah Tailong!!

No comments:

Post a Comment