Friday, 25 October 2013

PENCALONAN PRESIDEN PAS DITOLAK.



KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi menjelaskan proses pemilihan PAS kali ini mengikut kaedah-kaedah tertentu, khususnya perkara berkaitan penolakan pencalonan.




Beliau berkata jawatankuasa menolak mana-mana borang pencalonan yang didapati tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, antaranya yang diterima selepas tarikh tutup, tandatangan yang tidak lengkap, dan kurang jumlah pencalonan. "Tarikh tutup penerimaan borang pencalonan berakhir pada 20 Oktober lalu. Mana-mana borang yang diterima selepas tarikh tersebut, secara automatiknya ditolak. "Begitu juga dengan mana-mana calon yang tidak mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan, serta tanda tangan yang tidak lengkap, ia ditolak," jelas beliau.


Menyentuh penolakan borang pencalonan bagi jawatan Presiden PAS, Asmuni menjelaskan penolakan tersebut dilakukan kerana tidak cukup pencalonan, yang mana jawatankuasa menetapkan sekurang-kurangnya setiap pencalonan perlu memperoleh sekurang-kurangnya dua pencalonan.


Bagaimanapun, tegas Asmuni nama mereka yang ditolak pencalonannya tidak akan didedahkan kerana maklumat tersebut bersifat sulit dan persendirian (PnC). "Namun, yang ingin saya jelaskan di sini, calon bagi jawatan presiden yang ditolak itu bukan datang dari kawasan penyandang jawatan itu, iaitu Marang, seperti yang dilaporkan beberapa media, sebaliknya dari kawasan lain," tegas beliau.


Beliau sebelum itu dihubungi PAS kawasan berkenaan yang terkejut dengan laporan media lain yang menyebut pencalonan yang ditolak bagi jawatan tersebut datang dari kawasan dan negeri kelahiran presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Sementara itu, mengulas jumlah pencalonan yang diterima setiap calon, Asmuni menegaskan perkara tersebut tidak akan didedahkan, dan jumlah pencalonan itu hanya akan dimaklumkan kepada calon-calon untuk pertimbangan mereka selanjutnya. "Malah, susunan nama calon untuk setiap jawatan yang disenaraikan jawatankuasa juga dibuat mengikut abjad, bukannya berdasarkan jumlah pencalonan tertinggi," jelas beliau lagi.


Semalam, jawatankuasa tersebut mengumumkan senarai calon-calon yang layak bertanding pada pemilihan kali ini. Pada sidang media tersebut, Asmuni berkata semua calon tersebut perlu memberikan jawapan kepada Jawatankuasa Pemilihan pada 8 November sebelum jam 5 petang, sama ada bersedia untuk bertanding atau menarik diri.


Berbeza dari peraturan sebelum ini, Asmuni menegaskan, bagi pemilihan kali ini setiap calon perlu memberikan jawapan pada tarikh yang ditetapkan itu. "Ia berbeza kerana sebelum ini, mana-mana calon yang tidak memberikan jawapan sama ada menerima atau menarik diri, dianggap sebagai terima.


Tetapi, untuk kali ini, kami menetapkan setiap calon yang gagal berbuat demikian (memberi jawapan pengesahan untuk bertanding) sebagai tidak layak untuk bertanding," tegas beliau. Muktamar PAS kali ke-59 akan diadakan bermula 22 November hingga 24 November di Shah Alam, Selangor yang menyaksikan para perwakilan akan memilih pemimpin tertinggi parti bagi sesi 2013-2015.

No comments:

Post a Comment