Friday, 29 November 2013

'Transformasi Politik Teraju Ideologi Mahasiswa' - Persidangan #MahasiswaNasional 2013 @tun_faisal @razaliibrahim @shaberyc

KUALA LUMPUR, 28 Nov-- Persidangan Mahasiswa Nasional tahun ini yang akan diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 awal Disember, akan tampil dengan format baharu berkonsepkan persidangan Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas.


Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Umno Datuk Razali Ibrahim berkata format itu julung kali diaplikasikan dan berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang lebih menjurus kepada konvensyen, seminar, dialog dan forum.

Katanya perubahan itu akan menjurus kepada satu platform interaktif yang dapat memberi pendedahan asas perdebatan dalam Parlimen kepada mahasiswa yang terlibat dalam persidangan itu.

"Dengan format ini juga kita akan dapat mengasah kebolehan dan mengenal pasti barisan kepimpinan muda dalam kalangan mahasiswa. "Selain itu, ia bertujuan melatih mahasiswa untuk berfikiran kritis, memahami dan menyumbang idea dalam membina dasar-dasar negara," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Mengulas lanjut, Razali berkata persidangan anjuran Kelab Umno Luar Negara (KULN) dan Biro IPT Umno itu memerlukan peserta mencadangkan usul serta membahaskan empat bidang utama iaitu politik, ekonomi, agama dan pendidikan. "Di penghujung persidangan, saya sendiri akan menerima usul yang telah diundi dalam bentuk resolusi untuk disampaikan kepada kepimpinan tertinggi Umno," katanya.

Razali berkata pihaknya akan mengenal pasti tiga wakil KULN untuk diketengahkan dalam persidangan sayap-sayap dan pentas Perhimpunan Agung Umno 2013. Bertemakan 'Transformasi Politik Teraju Ideologi Mahasiswa', persidangan melibatkan 150 peserta itu akan diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Dis. Mereka termasuk pelajar Malaysia yang kini melanjutkan pelajaran di IPT di 14 negara antaranya Mesir, Kanada, Perancis, Ireland dan Korea Selatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment