Friday 8 November 2013

Sidang Dun Perak bermula akhir November ini.


Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 akan berlangsung dari 25 hingga 29 November ini.


Menurut Speaker DUN Perak, Datuk S K Devamany persidangan kali ini bakal menyaksikan Enakmen Perbekalan 2014 atau Bajet 2014 dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. “Pada empat hari seterusnya akan berlangsung perbahasan berkaitan pembentangan Bajet 2014. “Seperti biasa sesi soal jawab turut dijalankan dan soalan lisan dan bertulis perlu dikemukakan oleh setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selewat-lewatnya pada pukul 5 petang ini,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Penggulungan perbahasan pada 29 November ini juga mengikut portfolio masing-masing, kata Devamany lagi. Beliau berkata, antara isu yang bakal dibincangkan termasuklah pengenalan kepada ‘good and service tax’ (GST) iaitu sebanyak 6%, kenaikan ‘Real Property Gain Tax’ (RPGT) dan pengurangan subsidi gula dan minyak.

Sementara itu juga, persidangan ini turut akan membincangkan mengenai hutang negara iaitu 53.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pengurusan bantuan kepada SJKC berbanding Bajet 2013 lalu. “Kali ini, perbahasan fokus kepada Bajet 2014 tetapi perbincangan dibuat secara menyeluruh dalam semua bahagian,” ujarnya. Beliau turut mengesa supaya pihak pembangkang turut serta dalam memberi cadangan berkenaan Bajet 2014 supaya idea itu boleh diambil perhatian yang sewajarnya.

Katanya lagi, saluran penyampaian ini boleh dilakukan secara formal atau tidak formal. “Kaedah bertulis juga boleh digunakan untuk disalurkan kepada Menteri Besar yang bertujuan untuk pembangunan negeri Perak,” ujarnya lagi. Untuk persidangan kali ini, penambahbaikan akan terus dilakukan dan maklumbalas serta cadangan dari kedua-dua belah pihak jelasnya, diambil kira untuk kebaikan semua. “Penambahbaikan perlu supaya keadaan lancar dan teratur semasa proses persidangan berlangsung nanti,” tambahnya.

Devamanay turut mengesa semua perwakilan untuk terus mengekalkan keharmonian dewan dengan saling hormat-menghormati satu sama lain ketika membangkitkan setiap isu untuk diambil tindakan sewajarnya. Jelasnya lagi, pengumuman tiga minggu awal adalah untuk memastikan semua pihak mendapat maklumat yang jelas berkenaan persidangan kali ini.

No comments:

Post a Comment