Friday, 28 February 2014
MUFTI PERLIS SEDIA JADI CALON BERTANDING DI BALINGIAN
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, Jumaat ini.
Notis pengosongan kerusi DUN itu telah diserahkan kepada Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Abdul Taib turut menyerahkan sepenuhnya kepada penggantinya, Tan Sri Adenan Satem untuk memilih calon bagi DUN tersebut.
"Pada hujung bulan ini selepas sahaja saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, kerusi DUN Balingian akan dikosongkan.
"Siapa yang akan menggantikan tempat saya di situ, semuanya akan diumumkan oleh Tan Sri Adenan," katanya.
Abdul Taib berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan kerusi DUN Balingian, namun enggan mengulas lanjut ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kingwood Resort, di sini hari ini.
Pada 12 Februari lalu, Abdul Taib mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri berkuat kuasa 28 Februari dan akan digantikan oleh Adenan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu.
Beliau juga sebelum ini memberi jaminan peletakan jawatannya tidak bermakna bahawa semua yang dirancang semasa pentadbirannya akan dihentikan oleh kepemimpinan baharu.
Sementara itu,Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya ketika ditemui sama ada bersedia menjadi calon mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, sebagai orang yang telah dididik oleh Abdul Taib, beliau akur dan sentiasa bersedia jika diperlukan.
"Sebagai orang yang dididik oleh Abdul Taib selama ini, saya sentiasa akur dan taat kepada apa sahaja arahan beliau termasuk saya sendiri ke Perlis enam tahun lalu pun adalah atas arahan beliau sendiri.
"Maka saya sentiasa ingin menyumbang sebagai mana beliau mahu menyumbang kepada negeri dan negara," jelasnya.
Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata, soal calon dibincangkan oleh peringkat tertinggi PBB dan bukan tempatnya bagi memberi lebih penjelasan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment