Sunday, 23 February 2014

BR1M : SELEWATNYA AKAN DIBAYAR ESOK (ISNIN)



Kuala Lumpur: Penerima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang masih belum menerima wang bantuan mereka tidak perlu bimbang kerana akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing selewat-lewatnya esok.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Komuniti Bank Simpanan Nasional (BSN) Yunos Abd Ghani berkata, penerima tidak perlu bimbang jika belum menerima wang itu kerana pihaknya masih menguruskan proses mengkreditkan wang bantuan berkenaan kepada akaun mereka.

“Kami masih menguruskan proses mengkreditkan wang bantuan ini dan dijangka semua urusan itu akan selesai selewat-lewatnya Isnin ini.

“Setakat ini, semua urusan berjalan lancar dan kami berharap tiada gangguan semasa proses ini dilaksanakan.

Bagaimanapun, kami sudah menyediakan pelan kecemasan jika berlakunya gangguan dalam sistem kami,” katanya selepas majlis pelancaran BR1M 3.0 peringkat nasional, semalam.

Mengulas perjalanan operasi semalam, Yunos berkata, pihaknya menyediakan pusat khas sementara untuk kemudahan penerima bantuan dan mereka hanya perlu membawa Mykad untuk berurusan dengan pihaknya “Hari ini (semalam) semuanya berjalan lancar dan kami juga menyediakan sejumlah petugas bagi membantu penerima BR1M supaya wang mereka dikreditkan dalam akaun atau menunaikan baucer bantuan yang diterima.

“Segala proses menggunakan sistem dalam talian dan penerima hanya perlu membawa Mykad serta melakukan imbasan ibu jari menerusi mesin elektronik yang sudah disediakan sebagai pengesahan,” katanya.

Selain itu, katanya, maklum balas daripada orang awam juga amat baik dan rata-rata di antara mereka memuji kecekapan kakitangan pihaknya berikutan semua urusan boleh dilaksanakan tanpa mengambil masa panjang.

No comments:

Post a Comment