Monday 21 April 2014

BLOGGER SEKS ALVIN DAN VIVIAN TERLEPAS PERTUDUHAN MEMPERSENDA UMAT ISLAM


PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menggugurkan pertuduhan mempersenda umat Islam pada bulan Ramadan dihadapi blogger kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee, kerana ia tidak terpakai bagi bukan Islam.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki juga memutuskan pertuduhan mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan tidak dapat dikuatkuasakan terhadap pasangan itu.

Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Rohana Yusof dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat berkata panel membenarkan rayuan dikemukakan pasangan itu untuk membatalkan pertuduhan kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Agung 1988 dalam kes Mamat Daud dan Lain-lain lawan Kerajaan.

Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 26, dan Vivian atau Lee May Ling, 25, telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan ke atas mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi, ketika menolak permohonan pasangan itu pada 21 November tahun lepas, memutuskan Seksyen 298A (1)(a) terpakai bagi semua kaum dan sah serta boleh dikuatkuasakan secara universal tanpa mengira kaum, etnik atau agama seseorang dan bahawa seksyen itu terpakai pada kedua-dua perayu dalam kes ini.

Dalam permohonan itu, Alvin dan Vivian memohon daripada Mahkamah Tinggi bagi perintah untuk mengisytiharkan bahawa Seksyen 298A adalah tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak dapat dikuatkuasakan ke atas mereka, dan bahawa sekalipun tuduhan itu sah di sini undang-undang, ia hanya terpakai bagi orang Islam.

Mereka dituduh memuat turun gambar bersama-sama kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan) dalam laman Facebook mereka, yang berkemungkinan boleh menimbulkan konflik agama, di sebuah restoran di Dang Wangi pada 11 dan 12 Julai tahun lepas.

Ketika ditanya mengenai tindakan selanjutnya, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwa raya tentu akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Peguam Chong Joo Tian yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata dua lagi pertuduhan dihadapi oleh anak guamnya dikekalkan dan Mahkamah Sesyen menetapkan 12 Mei bagi sebutan kes.

Beliau berkata keputusan majoriti dalam kes Mamat Daud pada 1988 memutuskan bahawa kesalahan mengikut Seksyen 298A hanya terpakai bagi orang Islam.

Mengenai dua pertuduhan dihadapi pasangan kontroversi itu, mereka dituduh secara bersama-sama mengikut Akta Hasutan 1948 menyiarkan penerbitan menghasut iaitu gambar dan kapsyen yang sama dalam laman Facebook di https://www.facebook.com/alvivi.swingers di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini.

Mereka juga dituduh mengikut Akta Penapisan Filem 2002 dengan memuat turun gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/, antara 6 dan 7 Julai, tahun lepas di tempat yang sama. - Bernama

No comments:

Post a Comment